Saturday, August 1, 2009

BOHONG KHATAN

BOHONG SUNAT...WUJUD KAH?


siakap senohong, gelama ikan duri,
bercakap bohong, lama-lama.....???

...mencuri...(pandai pun.. kawan2 sekalian..)

Mengapa berbohong? Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atau kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk letakkan kesalahan itu!

Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidak disalahkan. Apabila ‘terlalu bijak’ mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan! Nampak mudah, bukan?

Bohong bermaksud memberitahu sesuatu yang tidak benar dan kita tahu hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukan bohong namanya.

Pembohongan dikategorikan sebagai orang munafik dan tempat mereka dalam neraka paling bawah. Dalam hadis riwayat Abdullah Umar, Rasulullah S.A.W. pernah menegaskan tentang empat sifat orang munafik:

1. Apabila diamanahkan, dia mengkhianati amanah itu.

2. Apabila bercakap, dia berbohong.

3. Apabila berjanji, dia memungkiri janji.

4. Apabila berkelahi, dia berlaku zalim atau melampau-lampau.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Ibnu Mas’ud, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Yang bercakap benar akan ditulis benar, yang bohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu akan membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”

Selain itu, hayati juga firman Allah dalam Surah al-Isra’:36 yang bermaksud, “Jangan kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak tahu mengenainya. Pendengaran dan penglihatan serta hati - semua anggota itu akan tetap ditanya mengenai segala yang dilakukannya.”

Oleh itu, secara normalnya, jika kita tidak tahu sesuatu perkara dengan jelas atau tidak sahih akan kebenarannya, jangan pandai-pandai bercakap apa-apa, kerana kita berkemungkinan boleh dituduh berbohong!

Walaupun pada prinsipnya, berbohong hukumnya haram tetapi dalam keadaan tertentu Islam memberikan kelonggaran. Namun ia bukan dalam konteks yang terlalu ketat.

Rasulullah S.A.W. ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat ingin mendamaikan orang lain atau untuk tujuan kebaikan dalam masyarakat, dia tidak dikira berbohong. Dalam suatu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah S.A.W. memberikan kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak betul kecuali dalam tiga perkara:

1. Ketika peperangan.

2. Untuk mandamaikan anggota masyarakat atau organisasi yang bertelagah.

3. Dalam perhubungan suami isteri.

Begitu juga untuk menjaga akidah, sekiranya seseorang dipaksa untuk mengucapkan sesuatu yang berlawanan dengan akidah, maka dia boleh berbohong. Namun, pembohongan itu dengan syarat hatinya tetap dalam Islam.

Hal ini mengingatkan kita kepada kisah yang menimpa Ammar Yassir yang terpaksa mengaku kembali menyembah berhala apabila dia diseksa teruk dan selepas melihat ibunya Sumayyah dan bapanya mati ditikam Abu Jahal kerana mempertahankan akidah. Rasulullah S.A.W. ketika ditanya mengenai kedudukan Ammar selepas itu, menyatakan bahawa Ammar tetap terpelihara akidahnya kerana dia dipaksa berbuat begitu dan hal itu di luar kerelaannya.

Berbohong antara suami isteri pula - hanya dalam perkara tertentu sahaja, maksudnya dalam perkara yang tidak menyentuh prinsip. Umpamanya, suami memuji masakan isteri kerana ingin ambil hati isteri, sedangkan masakan isterinya tidak kena langsung dengan seleranya. Atau isteri puji suami kacak, walaupun hakikatnya suami tidak setampan mana. Tetapi asalkan dengan niat menjaga keharmonian rumah tangga dan eratkan suami isteri, hal itu dibenarkan.

Kelonggaran dalam berbohong diistilahkan orang Melayu (terutamanya) sebagai ‘bohong sunat’. Hakikatnya, dalam Islam tiada ‘bohong sunat’, yang ada hanya kelonggaran yang diharuskan dalam keadaan tertentu. Sekiranya dapat mengelak daripada bohong, hal itu lebih digalakkan. Justeru, kelonggaran yang diberikan untuk berbohong harus digunakan secara tepat untuk menyelesaikan hal rumah tangga.

Nmaun sebenarnya ramai yang menggunakan kelonggaran ini untuk tujuan yang salah. Umpamanya suami berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri dan mengambil pendekatan ‘bohong sunat’, kononnya supaya mereka suami isteri tidak bertelagah.

Dalam konteks hubungan majikan atau ketua dengan para pekerja, bohong boleh berlaku jika majikan tidak menjelaskan hal sebenarnya mengenai pentadbiran syarikat yang merosot. Tetapi jika majikan berbuat demikian kerana tidak mahu para pekerja bimbang dan pada masa sama, ingin mencari jalan untuk membaiki keadaan, hal itu dianggap suatu kelonggaran.

Namun sekiranya keadaan gagal dikendalikan, tidak wajar majikan atau ketua terus berbohong dan menyembunyikan hal sebenar kerana itu seperti menganiaya pekerja.

Tidak kurang juga yang sering berlaku dalam organisasi – perbalahan sesama pekerja yang mungkin akan membawa mudarat jika tidak ditangani dengan segera. Justeru jika pembohongan tertentu dapat menyelamatkan keadaan dan mewujudkan keharmonian sesama pekerja, ia dibolehkan.

Namun, bohong jangan dibudayakan kerana ia lambat-laun akan merosakkan keharmonian dan meruntuhkan masyarakat. Walaupun ada kelonggaran berbohong, namun jika boleh dielakkan, lebih baik dielakkan.

...wallahu'allam...


[doa][Ya Allah SWT, Engkau lindungilah kami daripada sifat-sifat yang keji. amiinnn2 ya rabbal 'alaminnnn...]

1 comment:

Anonymous said...

Amin...

~Mudah-mudahan aku bukan pembohong...hm..